AIR TANGAN OPAH

Aku pasti ramai pembaca di sini yang gemarkan masakan nenek anda, tidak ketinggalan juga aku. Jujur aku katakan, aku begitu cukup kagum dengan kepakaran opahku dalam memasak. Jika seseorang itu perlu mengulang beberapa kali resepi yang baharu untuk menghasilkan masakan yang sempurna, namun tidak opah. Percubaan kali pertama sahaja, opah sudah pun berjaya menghasilkan masakan yang sempurna dan enak sekali. Anda lontarkan sahaja resepi-resepi baharu, opah pasti akan berjaya memasaknya.

Opahku adalah seorang yang amat menggemari untuk memasak buat cucu-cucunya. Jika menjelang hari raya, kebanyakan kuih-muih serta kerepek-kerepek dibuat sendiri oleh opah. Malahan, laksa dan mi juga diuli dan dibuat sendiri oleh opah. Aku pernah bertanyakan hal ini kepada opah, lalu opah menjawab kerana beliau merasakan satu kepuasan dapat memasak untuk cucu-cucunya terutama sekali yang tinggal berjauhan dan hanya pulang sekali sekala. 

Apabila cuti sahaja, aku pasti akan pulang ke kampung kerana aku tidak sabar untuk menolong opah memasak. Hal ini adalah kerana, semasa aku membantu opah memasak, opah akan memberikan tips-tips yang sangat bernas kepadaku. Tips-tips tersebut bukan sahaja mengenai masakan namun pelbagai perkara lain juga. Kebanyakan tips-tips tersebut telah aku guna pakai untuk kegunaan seharianku. Selain itu, opah juga gemar menceritakan kenangan-kenangan serta kisah-kisah silam beliau terutamanya ketika zaman penjajahan. Opah juga gemar mencerita mengenai zaman-zaman muda anak-anaknya iaitu pak cik dan mak cikku. 

Antara masakan yang dihasilkan oleh opah yang paling anak-anak dan cucu-cucunya minati adalah laksa, bihun sup, nasi berlauk, kerabu maman dan juga pau. Makanan-makanan inilah yang paling akan cepat habis jika opah menghidangnya. Namun begitu, berbeza pula dengan aku. Aku pula amat menggemari bihun kuah ataupun ibuku memanggilnya bihun cina. Bihun kuah opah sangat istimewa kerana kuahnya diperbuat daripada ikan bilis. Bahan inilah yang menjadikan kuahnya terasa begitu enak sekali. Opah juga mengetahui bahawa bihun kuah ini adalah makanan kegemaranku jika setiap kali sahaja aku pulang ke kampung. Oleh itu, setiap kali sahaja aku pulang ke kampung, opah pasti akan memasak bihun kuah ini kepadaku. Di sini aku sertakan cara-cara untuk membuat bihun kuah jika anda terasa untuk mencubanya,

Berikut adalah resepi Bihun Kuah@Cina

BAHAN-BAHAN
  • Bihun (telah dicelur)
  • Minyak masak
  • 3 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar kicap manis
  • Sedikit garam
  • Sayur sawi (telah dicelur)
  • Sayur tauge (telah dicelur)
  • Air secukupnya
  • 1 cawan ikan bilis (siap dibersihkan dan dikisar.)
  • 1 biji bawang besar (dikisar)
  • 1 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 biji cili besar (dikisar)
  • 3 biji cili padi (dikisar)
CARA MEMASAKNYA

1. Masukkan minyak secukupnya ke dalam periuk kemudian tumis bahan yang telah dikisar.
2. Masukkan air, sos cili, kicap manis dan garam secukup rasa.
3. Tunggu sehingga kuah siap dimasak.
4. Apabila kuah sudah masak, sedia dihidangkan bersama bihun, sawi dan tauge.





Aku pasti bahawa anda tidak akan kecewa apabila dapat merasai bihun kuah ini. Ahhh, melalui penulisan ini sahaja aku sudah dapat membayangkan kesedapan bihun kuah opah. Tidak sabar sungguh aku untuk pulang bercuti untuk menikmati bihun kuah opah. Setakat ini sahaja entriku pada kali ini, semoga kita berjumpa lagi untuk entri seterunya. Bye....


Comments

Popular posts from this blog

BISKUT RAYA KEGEMARANKU

JUADAH TIDAK BERNAMA

MULTILINGUALISM