TERIMA KASIH GURU

Ini merupakan entri terakhir yang aku tulis buat tugasan penulisan blog bagi subjek Penglahiran Bakat Kreatif. Memandangkan kini sudah pun minggu terakhir kuliah pada semester ini, sudah semestinya semua sesi pembelajaran akan tamat pada minggu ini.

Entri terakhir ini aku tulis khas ku tujukan kepada pensyarah kursus BBK3410 Penglahiran Bakat Kreatif iaitu Prof. Madya. Dr. Kamariah binti Kamarudin. Sesungguhnya, pada permulaan kuliah, aku berasa sungguh bosan dan tidak berminat terhadap subjek ini. Namun, lama-kelamaan, minat aku terhadap subjek ini semakin memberansangkan. Jika sebelum ini aku amat tidak meminati genre puisi seperti sajak, pantun dan syair tetapi kini aku telah mempunyai minat sedikit dalam genre ini. Jika sebelum ini juga aku langsung tidak berminat untuk menulis karya-karya seperti cerpen, novel dan skrip drama namun kini aku telah pun mempunyai sebuah azam untuk menulis sebuah novel hasil diriku sendiri.

Jujur aku akui, sebelum ini aku tidak berminat dalam seni penulisan kreatif kerana aku tidak berbakat dalam bidang ini. Selain itu, aku juga bukan seorang yang kreatif serta tidak mampu mengeluarkan idea yang menarik jika aku ingin berkarya. Ditambahkan lagi dengan ketiadaan masa dek dipenuhi dengan kelas-kelas tambahan dan kerja-kerja sekolah, aku langsung tidak pernah memikirkan untuk berkarya. Satu-satunya karya yang pernah aku hasilkan sebelum ini adalah hanya sebuah sajak di dalam bahasa Perancis. Sajak ini aku karang bersama sahabat baikku iaitu Hanis Aiman untuk diterbitkan di dalam majalah sekolah.

Tanpa disangka, setelah beberapa minggu aku mempelajari subjek ini, aku telah mengetahui serba-sedikit tips-tips ataupun cara-cara untuk mendapatkan idea yang kreatif semasa berkarya. Melalui cara yang telah diajarkan seperti melalui pengalaman diri sendiri dan keadaan sekeliling, aku telah berjaya menghasilkan dua buah cerpen serta lima buah sajak untuk tugasan bagi subjek ini.

Selain itu, aku juga telah mendapatkan idea serta panduan dari buku-buku teks yang telah kami guna pakai sepanjang pembelajaran iaitu : 
  1. Kumpulan Puisi Kanak-Kanak (Buku) karya Mahaya binti Mohd Yassin
  2. Novel Remaja Duratul Ain karya Halis Azhan
  3. Kumpulan Cerpen Catatan Cinta Anakanda Bonda karya Kamariah Kamarudin
  4. Kreatif 3 Genre Kepengarangan 12 Penulis hasil selenggara oleh Mawar Safei



Selain itu, satu perkara yang mengejutkan aku lagi ialah Dr. Halis Azhan merupakan seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia. Hal ini kerana beliau merupakan penulis novel Azfa Hanani iaitu buku teks yang aku gunakan semasa berada di tingkatan empat. Maka, sudah semestinya aku berasa begitu teruja apabila mengetahui tentang keberadaan beliau di sini sebagai seorang pendidik. Aku juga turut memaklumkan tentang perkara ini kepada rakan-rakan sekolahku.



Akhir kalam, terima kasih tidak terhingga kepada Dr. Kamariah yang telah banyak membimbing aku dalam menanamkan semangat serta minat untuk menjadi seorang pengarang kreatif. Tidak lupa juga kepada pembantu beliau iaitu Encik Syukrey yang telah banyak membantu dalam melancarkan sesi pembelajaran dan penghantaran tugasan. Sesungguhnya, aku amat berharap agar minatku untuk berkarya yang telah berjaya aku cungkil sedikit sepanjang mengikuti kursus ini dapat aku kekalkan pada masa hadapan.

TERIMA KASIH GURU, TERIMA KASIH CIKGU 🌹🌷

Comments

Popular posts from this blog

BISKUT RAYA KEGEMARANKU

JUADAH TIDAK BERNAMA

MULTILINGUALISM