JUADAH TIDAK BERNAMA
TELUR BUNGKUS |
Juadah tidak bernama, mengapa tajuk ini yang aku pilih untuk entri kali ini? Hal ini adalah kerana pada hari ini aku ingin menceritakan serba sedikit tentang satu juadah kegemaranku yang sudah semestinya dimasak oleh ibuku sendiri namun juadah ini masih tiada nama sehingga hari ini.
Juadah ini amat mudah dimasak dan bahan-bahannya juga sangat mudah didapati. Anda hanya memerlukan kepingan ayam yang dipotong dadu, telur, sos, kicap, daun kesum dan banyak lagi. Sejujurnya, aku juga agak kurang pasti bagaimana untuk menggambarkan juadah ini. Juadah ini rasanya seperti telur bungkus atau telur bistik namun rupanya amat berbeza daripada kedua-dua masakan tersebut.
TELUR BISTIK |
Juadah ini tidak mempunyai nama kerana ibu sendiri yang mencipta resepi tersebut. Saat pertama kali juadah ini masuk ke dalam mulutku, aku terus terkesima dengan rasanya yang enak sekali. Maka, sejak itulah juadah ini telah bertakhta sebagai makanan kegemaranku. Apabila aku mula menyukai juadah ini, sudah semestinya aku bertanya kepada ibu apakah nama lauk ini. Lalu ibu terus menjawab, "Entahlah, ibu pun tidak tahu, ibu hanya mencampurkan saja lebihan bahan-bahan masakan tengah hari tadi", ujar ibu.
Setiap kali aku pulang bercuti ke kampung, ibu pasti akan memasakkan juadah ini kepadaku. Selain itu, ibu juga tidak akan lupa untuk membekalkan juadah ini untuk aku bawa pulang balik ke asrama. Kadang-kadang, ibu akan memasak juadah ini pada bila-bila masa sahaja (jika aku sedang berada di rumah ketika itu) kerana ibu tahu bahawa aku aat gemar untuk meratah lauk ini. Aku mampu menghabiskannya hanya dalam sekelip mata.
Di sini aku sertakan resepi istimewa hasil tangan ibuku.
- 1 keping dada ayam (potong dadu)
- 2 sudu besar sos tomato
- 2 sudu cili kering yang telah dikisar
- 1 ulas bawang putih (tumbuk halus)
- 1 ulas bawang merah (tumbuk halus)
- 1/2 kiub pati ayam Maggi
- 1/2 biji tomato (potong dadu)
- 2 helai daun limau purut (potong kecil)
- 3 sudu besar air
- Garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA
1. Masukkan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah kemudian masukkan sos tomato dan cili kering yang telah dikisar ke dalam kuali.
2. Diikiuti air, kiub pati ayam Maggi, limau purut dan tomato.
3. Apabila sudah sebati, masukkan kepingan dada ayam yang telah dipotong dadu dan sedikit garam. Kacau sehingga masak.
*Jika terlalu kering, sebelum api ditutup, tambahkan sedikit air.
Memandangkan bulan puasa semakin menghampiri, perasaan rindu dan terkenang-kenang akan juadah ini semakin menebal. Aku dapat membayangkan betapa enaknya jika aku dapat bersahur mahupun berbuka puasa dengan juadah ini. Aku amat berharap agar juadah ini akan mempunyai namanya yang tersendiri pada suatu hari nanti. Mungkin juga para pembaca sekalian dapat memberikan nama yang sesuai untuk juadah ini. Setakat ini sahaja entriku pada hari ini dan anda semua bolehlah mencuba untuk memasak juadah ini.
SELAMAT MENCUBA !! 😀
Comments
Post a Comment