BISKUT RAYA KEGEMARANKU


Aidilfitri kian menjelang tiba, aku pasti ramai kini yang sedang sibuk mencari kelengkapan raya. Jika sebut sahaja Hari Raya, sudah semestinya perkataan biskut raya akan terus terlintas di pemikiran anda. Seperti keluarga-keluarga lain, keluargaku juga tidak ketinggalan untuk melengkapi senarai panjang biskut raya di rumah.

Seperti kebiasaan, keluarga aku lebih memilih untuk membuat sendiri biskut-biskut raya. Biskut yang dibeli adalah hanya empat jenis sahaja iaitu Biskut Almond London, Biskut Kusai dan Biskut Coklat Urai. Ketiga-tiga biskut ini pun ibu hanya akan menempahnya daripada kawan-kawan ibu. 

BISKUT ALMOND LONDON, COKLAT URAI DAN KUSAI

Pada setiap tahun, biskut-biskut yang akan dibuat oleh kami sekeluarga kebanyakannya sama. Walaupun ia tidak pernah berubah, namun kesemuanya cepat sahaja habis kerana kami sekeluarga amat menggemarinya. Mana tidaknya, hasil air tangan sendiri sudah semestinya lebih baik daripada orang lain. Berikut adalah antara jenis biskut yang akan dibuat oleh aku sekeluarga sendiri :

BISKUT BUBBLE RICE

BISKUT AISKRIM

BISKUT MAZOLA

BISKUT KEPINGAN BADAM

BISKUT CORNFLAKES MADU

Seterusnya pula adalah biskut kegemaran ayah. Ayah akan memakan biskut-biskut ini jika ia hanya dibuat oleh ibu.

TAT NANAS DAN BISKUT SAMPAN

Namun begitu, dalam banyak-banyak biskut yang dibuat oleh ibu dan aku, Biskut Sarang Semut yang menjadi pilihan hatiku. Aku boleh memakan biskut ini seperti makanan harianku. Jika kebanyakan orang akan mengunyah kekacang atau pun kerepek-kerepek sambil berehat-rehat mahu pun menonton televisyen, namun aku akan mengunyah biskut ini. Setiap kali waktu sahur juga akan pasti makan sekurang-kurangnya 5 ketul biskut ini. Maka, aku ingin berkongsi resepi yang digunakan oleh keluargaku.

BISKUT SARANG SEMUT

Di bawah adalah resepi biskut ini:
  • 225 g mentega
  • 1 cawan gula halus
  • 1 1/2 cawan tepung jagung
  • 1 cawan tepung kastard
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 biji kuning telur
  • 1/2 sudu esen vanila
  • Coklat urai (untuk ditabur)
CARA MEMASAKNYA

1. Kacau mentega, gula, kuning telur dan esen vanila di dalam bekas.
2. Masukkan kesemua jenis tepung.
3. Uli sehingga sebati. (Jika adunan terlalu lembut, tambahkan sedikit tepung jagung).
4. Sagat adunan tersebut.
5. Masukkan adunan yang telah disagat ke dalam cawan kertas. Kemudian taburkan coklat urai.
6. Bakar adunan selama 20-25 minit.


Mudah bukan untuk melakukannya?

Untuk pengetahuan pembaca sekalian juga, pada setiap tahun ibu akan mengambil tempahan agar-agar kering daripada penduduk taman dan saudara-mara. Pernahkah anda mendengar akan nama ini? Jika tidak, agar-agar kering adalah agar-agar yang yang dikeringkan dengan menjemurnya di bawah sinaran mentari selama beberapa hari. Proses melakukannya agak rumit kerana anda perlu sentiasa memerhatikan agar-agar yang dijemur. Pernah sahaja beberapa kejadian berlaku semasa ibu membuat agar-agar kering ini. Antaranya adalah dimakan kucing, basah dek terkena hujan malah agar-agar tersebut berterabur kerana terkena bola yang dimain oleh kanak-kanak di kawasan perumahanku.


Agar-agar kering ibu menjadi sambutan ramai kerana pada zaman sekarang, amat sukar untuk mencarinya ini di kedai-kedai. Pembuat-pembuat biskut raya juga ratanya-ratanya tidak mengambil tempahan kerana prosesnya yang agak rumit. Aku mempunyai seorang sepupu yang berumur lima tahun yang amat gemarkan agar-agar kering ini. Dia menjadikan makanan ini seperti snek harian. Keluarganya tinggal di Johor, oleh itu jika tibanya musim perayaan, ibu sepupuku ini akan mengambil tempahan dalam kuantiti yang banyak.

Aku rasa cukup setakat ini sahaja entri pada kali ini. Aku berasa sungguh sedih kerana pada tahun ini aku tidak dapat membantu ibu membuat kuih raya. Hal ini adalah kerana pada tahun ini, jadual peperiksaan akhir aku akan berakhir tiga hari sebelum hari raya. Maka, ibu akan sudah selesai membuat kesemua biskut raya saat aku telah pulang nanti. Tidak mengapalah, Inshaallah pada tahun hadapan ada rezeki untuk aku menolong ibu.

Comments

Popular posts from this blog

JUADAH TIDAK BERNAMA

MULTILINGUALISM