AKU SEORANG ULAT BUKU I
'ULAT BUKU'. Satu nama yang tidak asing lagi untuk diriku. Inilah gelaran yang diberi oleh rakan-rakanku kepadaku. Aku sendiri tidak tahu sejak bila aku mula menyukai membaca. Apa yang pasti adalah, aku sudah mahir membaca ketika aku berumur lima tahun. Ibu berkata bahawa aku sering mengambil surat khabar yang dibeli oleh ayah untuk dibaca.
Masih kekal dalam ingatanku ketika aku disuruh untuk membacakan buku cerita berjudul Aku, Si Ulat Bulu pada majlis penyampaian hadiah di Tadika KEMAS Bunya Raya I, iaitu sekolah pertamaku. Ibu begitu terharu kerana hanya aku seorang sahaja pelajar berumur lima tahun yang dapat membuat persembahan di hadapan. Kesemua persembahan lain telah dilakukan oleh pelajar berumur enam tahun. Masih aku simpan rapi buku tersebut di rak buku di rumahku.
Ibu sering memberi tahu bahawa minatku untuk membaca sangat mengagumkan beliau. Hal ini adalah kerana, ibu memaklumkan yang aku akan mengambil apa-apa sahaja bahan bacaan untuk dibaca di mana-mana sahaja tidak kira sama ada buku cerita, majalah, surat khabar mahupun risalah-risalah pelancongan. Syukur aku kerana minat aku yang sangat mendalam ini masih kekal utuh dalam sanubariku sehingga hari ini. Aku minat dan mampu membaca apa-apa sahaja bahan bacaan walaupun bahan-bahan bacaan tersebut berlainan genre.
Semasa aku masih di sekolah rendah, aku lebih cenderung untuk membaca novel-novel remaja. Antara novel remaja yang paling aku gemari adalah hasil tulisan saudari Ain Maisarah. Aku amat meminati novel-novelnya kerana cara penulisannya yang begitu kreatif dan berjaya menambat hatiku. Bukan itu sahaja, malah watak-watak yang dicipta, penggunaan kata, latar tempat, plot serta suasana keadaan cerita tersebut digambarkan sangat menarik.
Aku juga sangat meminati beliau kerana kebanyakan novel yang dihasilkan adalah novel bersiri. Maka, sudah semestinya aku sebagai salah seorang pembaca setia novel beliau akan sangat menanti-nantikan keluaran siri seterusnya. Beliau merupakan penulis pertama yang aku amat ingin temui. Berikut merupakan novel-novel hasil penulisan beliau yang telah aku miliki :
Jutawan Gedik adalah novel pertama yang aku beli menggunakan duit aku sendiri. Aku tahu bahawa tajuk novel ini sangatlah pelik dan entah apa-apa tetapi seperti pepatah Inggeris mengatakan : Don't judge a book by it's cover. Sesungguhnya, novel ini mempunyai kandungan yang sangat memberi input dan manfaat kepada aku. Novel ini mengisahkan pelajar-pelajar di sebuah sekolah yang terletak di Sri Bangsar. Kesemua pelajar ini telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memulakan perniagaan masing-masing. Sepanjang pembacaan, banyak ilmu mengenai perniagaan telah aku dapati seperti teknik-teknik pemasaran, cara mengumpul dana serta etika-etika semasa berniaga. Jujur aku katakan, pada mulanya ibu juga melarang aku membeli buku ini kerana sudah semestinya kulit muka depannya yang kelihatan sangat tidah berilmiah namun setelah aku memujuk dan menerangkan mengenai buku ini kepada ibu, lalu ibu pun bersetuju.
SIRI AKU MAHU
Seperti hasil-hasil tulisan sebelum ini, tajuk-tajuk novel yang dikarang oleh Ain Maisarah agak pelik dan kedengaran keanak-anakan, namun ceritanya penuh dengan moral serta pengajaran yang boleh diambil ikhtibar.
SIRI IMPIANA
Novel bersiri Impiana mengisahkan salah laku serta jenayah-jenayah yang dilakukan oleh pihak atasan dan golongan-golongan orang berada terhadap golongan bawahan. Sikap angkuh, pentingkan diri sendiri serta sikap suka menindas golongan di bawah telah membawa karma kepada mereka. Novel bersiri telah mengajar aku iaitu jika kita ingin berjaya, tiada jalan mudah untuk mencapainya selain berusaha dan tidak pernah sama sekali berputus asa.
AKU MAHU KE NEW YORK
Ini merupakan novel terakhir yang akan aku kupas pada kali ini. Novel ini menceritakan bagaimana sekumpulan remaja perempuan menyesuaikan diri mereka tinggal di kawasan pedalaman di Sarawak iaitu Kampung New York. Sangkaan mereka untuk bercuti di New York meleset apabila lokasi sebenar lawatan kelas mereka adalah di kampung tersebut. Maka, mereka semua telah melakuan 1001 cara untuk terus hidup di kawasan pedalaman tersebut. Novel ini telah mengajar aku untuk sentiasa bersyukur dengan segala rezeki dan kemudahan yang telah aku miliki.
Aku rasa cukup sampai di sini sahaja entriku pada kali ini. Kepada para pembaca, aku tahu genre pembacaan aku agak keanak-anakan, namun apakan daya kerana kesemua novel ini aku beli, baca dan simpan sehingga kini ketika aku masih berada di sekolah rendah. Jadi, tidak hairanlah minatku lebih kepada novel-novel sebegini. Oh! Aku juga ingin memaklumkan bahawa pada bulan Januari tahun ini, aku telah bertemu dengan Ain Maisarah di sekolah adikku. Syarikat penerbitan buku beliau iaitu PTS Sdn. Bhd. telah mengadakan jelajah 'Mari Membaca' di seluruh negara. Tidak dapat aku gambarkan betapa gembira dan kagumnya aku dapat berjumpa beliau. Terima kasih kepada adik lelakiku yang memaklumkan kedatangan beliau ke sekolah dia.
Aku akan menyambung mengenai minat membacaku di entri seterusnya. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk membacanya ! 📖😊
Comments
Post a Comment