SAKURA DI BUMI MATAHARI TERBIT

SAKURA DI BUMI MATAHARI TERBIT. Mengapa aku memilih tajuk ini untuk entri pada kali ini? Hal ini adalah kerana pada entri kali ini, aku ingin menceritakan tentang satu-satunya destinasi yang amat aku ingin kunjungi sejak kecil lagi. Aku pasti anda sudah dapat meneka negara apakah yang ingin aku kunjungi hanya melalui tajuk tersebut. Ya, tepat sekali! Aku sangat mengingini untuk melawat ke negara Jepun.

Impianku ini telah aku semat ketat-ketat dalam pemikiran dan sanubariku sejak kecil lagi. Anda pasti tertanya-tanya mengapa aku ingin pergi ke Jepun dan tidak ke negara lain. Oleh itu, aku akan menceritakan beberapa sebab mengapa Jepun menjadi pilihan utamaku.


1. PEMANDANGAN YANG INDAH

Aku pasti anda semua juga sudah sedia maklum bahawa pemandangan dan tempat-tempat di Jepun mempunyai pemandangan yang sangat indah sekali. Dua pemandangan yang aku amat ingin lihat adalah pemandangan gunung Fuji serta keindahan pohon-pohon Sakura. Sebagai seorang yang sukakan menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang Maha Esa, sudah semestinya Jepun merupakan salah satu tempat yang anda tidak boleh terlepas dari destinasi yang perlu dilawati.

POHON-POHON SAKURA DI TEPI-TEPI JALAN

PEMANDANGAN GUNUNG FUJI

2. BUDAYA JEPUN

Aku juga merupakan seorang yang gemar mengambil tahu serta mempelajari budaya-budaya baru dari negara luar. Pada pendapatku, budaya yang diamalkan oleh setiap negara, etnik mahupun masyarakat setempaat adalah sangat menarik dan jika diteliti dengan lebih mendalam akan sebab-sebab dan asal-usulnya, lagi bermakna budaya tersebut. Antara budaya yang aku ingin cuba jika aku melawat ke Jepun adalah seperti upacara ataupun tradisi minum teh, pemakaian kimono serta seni bina-seni bina bangunan di sana. Selain itu, aku juga turut ingin merasai pengalam tinggal di rumah tradisional Jepun. Aku ingin merasai apakah rasanya tidur di atas tatami. Hal ini adalah kerana melalui pembacaanku, tatami ini mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengekalkan kesejukan rumah tersebut tanpa penghawa dingin mahupun kipas.

KUIL & TAMAN SAIHO JI

ISTANA HIMEJI

RUMAH TRADISIONAL JEPUN

PEMAKAIAN BAJU KIMONO

UPACARA MINUM TEH

3. MAKANAN DI JEPUN

Jika anda melawat ke mana-manapun, sudah semestinya makanan negara tersebut akan menjadi salah-satu perkara yang anda ingin cuba. Jika aku diberi peluang melawat ke Jepun, antara makanan-makanan signifikan mereka yang aku ingin cuba adalah seperti mi udon, mochi, takoyaki, okonomiyaki dan banyak lagi. Aku tahu bahawa di Malaysia juga terdapat makanan-makanan ini, namun jika kita menikmatinya di sana, pasti rasanya lebih asli dan enak. Jika aku beli di sini, harganya juga agak mahal. Selain itu, terdapat juga antara makanan yang sukar didapati di sini.


MI UDON PELBAGAI PERISA YANG DIHIDANGKAN BERSAMA NARUTOMAKI

MOCHI DAN AIS KRIM MOCHI PELBAGAI PERISA
Pasti akan ada yang tertanya-tanya apakah itu mochi? Mochi adalah sejenis kuih Jepun yang dibuat menggunakan beras pulut, ditumbuk pula sehingga lembut dan likat dan dimasukkan inti kedalamnya. Makanan ini sangat terkenal terutamanya semasa perayaan tradisional mereka. Jika di Malaysia, mochi boleh disamakan seperti kuih abuk-abuk.


TAKOYAKI DAN OKONOMIYAKI
Takoyaki ialah snek berbentuk bola yang diperbuat daripada gandum yang berasaskan keju. Snek ini juga dikenali sebagai bebolah sotong. Di dalamnya, bahan-bahan lain turut dimasukkan seperti tempura dan bawang hijau. Okonomiyaki pula adalah penkek ataupun pizza kubis. Kedua-dua makanan ini dihidangkan juga dengan sos dan mayonis. 



Aku rasa ramai antara pembaca-pembaca sekalian yang tahu apakah itu bento. Seperti bento juga, makanan di atas dipanggil ekiben ataupun boleh juga dikatakan sebagai set makanan tengah hari yang dihidangkan dan dipaketkan ke dalam kotak. Di Jepun, ekiben ini sangat terkenal terutamanya dalam kelompok para pekerja, pelajar dan juga penumpang yang menaiki kereta api. Ia sangat lazim buat masyarakat Jepun sehinggakan terdapat lambakan kedai yang menjual ekiben sahaja. Makanan-makanan ini juga dibungkus di dalam kotak atau bekas yang pelbagai bentuk dan rupa.


CONTOH EKIBEN YANG DIBUNGKUS DI DALAM BEKAS BERBENTUK KERETA API

Gambar di atas adalah roti yakisoba iaitu secara ringkasnya adalah roti yang diisi dengan sejenis mi digoreng bersama daging, sayur-sayuran dan otafuku-sos. Roti ini sangat terkenal dalam kalangan anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah tinggi kerana ia murah dan intinya padat. Roti ini mungkin kelihatan agak aneh namun rasanya sangat enak.


KEK KEJU 'UNCLE RIKURO'


Jika anda mengunjungi ke Jepun, tidak sahlah jika anda tidak membeli kek keju mereka. Aku telah mencuba membuat kek ini menggunakan resepi yang banyak tersedia di internet, namun rasanya adalah menghampakan. Rata-rata pengguna laman sosial mencadangkan jika anda ingin merasai kelazatan da rasa sebenar kek keju versi Jepun ini, anda mestilah mendapatkannya di negara tersebut.

4. KERETA API LAJU SHINKANSEN

Jika berkunjung ke Jepun, sudah semestinya anda perlu merasai pengalaman menaiki kereta api terlaju di dunia iaitu kereta api Shinkansen. Anda juga boleh menyaksikan bagaimana kereta api laju ini bercantung antara satu sama lain bagi memulakan perjalanan seterusnya.
ANTARA CONTOH KERETA API SHINKANSEN


Anda bolehlah tekan link di bawah untuk menyaksikan bagaimana kereta api ini bercantum.

5. MESIN LAYAN DIRI DAN KOTAK MISTERI

Jepun juga amat dikenali dengan lambakan dan majunya mesin layan diri. Jika di Malaysia, mesin layan diri hanya terhad untuk pilihan minuman dan snek-snek ringan sahaja namun jika di Jepun, anda boleh membeli apa-apa sahaja melalui mesin layan diri. Antara contoh mesin layan diri yang terdapat di Jepun adalah makanan-makanan harian seperti yang telah aku beri contoh di atas, makanan-makanan segera, sup, buah-buahan, telur, peralatan-peralatan seharian seperti payung, tali leher dan bateri, peralatan sukan seperti bola sepak dan bulu tangkis malahan terdapat juga makanan laut yang masih mentah. Bagiku, perkara ini sungguh menakjubkan dan menarik untuk dilihat.


MESIN LAYAN DIRI MAKANAN HARIAN
MESIN LAYAN DIRI MAKANAN SEGERA

MESIN LAYAN DIRI SUP


Seterusnya, di Jepun terdapat juga mesin layan diri yang menjual kotak misteri. Apakah kotak misteri ini? Kotak misteri adalah kotak yang dibalut dengan kertas yang mempunyai cerita ditulis di atasnya. Cerita-cerita ini merupakan kisah seharian yang dilalui  oleh masyarakat Jepun. Apa yang lebih menarik lagi, anda tidak tahu barang apakah yang terdapat di dalam kotak tersebut.


MESIN LAYAN DIRI YANG MENJUAL KOTAK MISTERI


6. CARA MEMBALUT HADIAH


Aku begitu tertarik untuk belajar bagaimana masyarakat Jepun membalut hadiah. Kedengaran aneh? Bagi aku tidak sama sekali. Untuk pengetahuan anda, masyarakat Jepun menggunakan teknik lipatan origami untuk semasa membalut hadiah. Hasil balutan hadiah tersebut akan kelihatan begitu kemas sekali malahan mereka juga hanya menggunakan sedikit sahaja gam. Anda bolehlah tekan link di bawah untuk melihat kecantikan teknik membalut hadiah di Jepun. Aku telah mencubanya beberapa kali melalui tutorial-tutorial yang terdapat di Youtube namun masih gagal

Akhir kata, aku amat berharap agar pada suatu hari nanti, aku berjaya menjejakkan kaki di atas bumi sakura ini. Kepada penganut Islam, anda juga tidak perlu risau jika datang ke sini kerana kini Jepun merupakan negara yang ke-3 terbaik di dunia antara negara-negara bukan Islam dalam menyediakan kelengkapan buat umat Islam.

Sampai di sini sahaja entri aku pada kali ini. SAYOUNARA 

Comments

Popular posts from this blog

BISKUT RAYA KEGEMARANKU

JUADAH TIDAK BERNAMA

MULTILINGUALISM