KUEY TEOW GORENG DOLI
Pernahkah anda mendengar nama ini? Jika anda seorang yang gemarkan 'food hunting', aku amat pasti bahawa anda semua pernah mendengar akan nama ini.
'KUEY TEOW GORENG DOLI', merupakan sebuah restoran yang tidaklah begitu besar mahupun gah jika dilihat luarannya, namun keenakan masakannya memang tiada tara.
Restoran yang terletak di bandar Taiping ini amat dikenali oleh orang ramai bukan sahaja oleh penduduk tempatan tetapi oleh masyarakat luar juga. Setiap kali aku sekeluarga berkunjung ke restoran ini, pasti kami perlu menunggu terlebih dahulu di luar pintu restoran tersebut kerana restoran ini sentiasa dipenuhi oleh orang ramai. Masyarakat dari pelbagai lapisan umur, kaum keluarga, para remaja tidak kurang juga golongan berumur akan sentiasa keluar masuk ke dalam restoran ini. Restoran ini juga pernah dikunjungi oleh krew program televisyen TV3 iaitu 'JALAN-JALAN CARI MAKAN'. Nama rancangan ini sudah pasti tidak asing lagi pada pembaca semua.
PEMANDANGAN LUAR RESTORAN |
Aku yakin bahawa anda pasti tertanya-tanya mengapa restoran ini amat dikenali ramai? Satu sahaja yang aku dapat gambarkan mengapa restoran amat terkenal. 'UNIK'. Ya, rasa kesemua masakan ataupun menu di restoran amatlah unik. Sangat berbeza berbanding restoran-restoran mahupun kedai-kedai makan yang lain. Aku pernah bertanyakan kepada ayah mengapa makanan di restoran ini sangat sedap. Maka, ayah menjawab bahawa pemilik restoran tersebut yang merupakan seorang wanita berketurunan Melayu-Pakistan hanya menggunakan resepi turun-temurun keluarga beliau.
Jika nama restoran tersebut adalah 'KUEY TEOW GORENG DOLI', sudah pasti menu yang paling diminati ramai adalah kuey teow goreng namun berlainan pula bagiku. Setiap kali berkunjung ke sini, menu yang pasti akan menjadi pilihanku adalah nasi ayam. Bagiku, nasi ayam di sini amatlah lazat sekali. Kekuatan kelazatan nasi ayam ini adalah terletak pada ayam yang dihidangkan. Gabungan rempah ratus yang diperap bersama dengan ayam yang telah direbus dengan empuk sekali, ditambahkan lagi dengan dua pilihan sos yang disertakan bersama, memang begitu lazat untuk dinikmati.
Sejujurnya, selama bertahun-tahun aku mengunjungi restoran ini, aku tidak pernah memesan koey teow mereka. Ayahku sahaja yang gemar memesan menu tersebut. Maka, aku tidaklah tahu rasa sebenar masakan tersebut. Walau bagaimanapun, aku pernah merasanya sedikit dan rasanya memang sangat enak sekali. Seperti yang telah aku ceritakan sebentar tadi, apa yang membuatkan restoran ini amat terkenal adalah kerana rasanya yang begitu unik.
KOEY TEOW GORENG SPECIAL |
Perkara lain yang membuatkan aku begitu kagum dengan restoran ini adalah pengurusannya. Untuk pengetahuan pembaca semua, restoran ini hanya mengambil pekerja lelaki sahaja. Pekerja wanita di restoran ini hanyalah seorang iaitu pemilik restoran ini sendiri. Beliau ialah antara salah seorang tukang masak di restoran ini. Mengapa pekerja lelaki sahaja yang bekerja di sini? Hal ini adalah kerana kesemua pekerja di sini perlu bertugas dan bergerak dengan amat pantas sekali. Jika aku datang ke sini, sementara menunggu makanan siap, aku pasti akan memerhatikan pekerja-pekerja di sini bekerja. Ketangkasan mereka mngambil menu, membersihkan meja serta menghantar menu memang sangat menakjubkan.
Namun, aku mempunyai sedikit pesanan di sini buat pembaca semua. Pertama, harga makanan dan minuman di sini agak mahal berbanding restoran-restoran lain. Aku juga kurang menyarankan anda untuk memesan jus buah-buahan kerana harganya yang agak mahal. Disebabkan inilah, setiap kali sahaja datang ke sini, aku sekeluarga hanya akan memesan air seperti teh ais, barli, teh o ais limau, sirap dan jus laici. Hal ini kerana minuman ini sahaja yang harganya agak berpatutan. Selain itu, kuantiti hidangannya juga tidaklah begitu banyak namun begitu, kelazatan menu di restoran ini memang tiada tandingannya. Mungkin akan ada yang menggagap harga menu tersebut adalah normal terutamnya kepada masyarakat yang tinggal di kawasan bandar-bandar besar namun bagi kawasan bandar Taiping, harga tersebut boleh dikatakan agak mahal.
Selain itu, jika anda hendak datang ke sini semasa bulan Ramadan untuk berbuka puasa, pastikan anda menempahnya seawal yang mungkin. Jika pada bula Ramadan, restoran ini mula beropersi sekitar pukul 11.00 pagi. Oleh itu, sebaik sahaja restoran ini mula dibuka, anda bolehlah pergi ke kaunter untuk menempah meja. Sesungguhnya, jika anda terlambat sedikit, tempahan pasti akan sudah penuh. Anda juga tidak perlu risau kerana restoran ini turut menyediakan kemudahan seperti tandas dan surau.
Akhir kata, aku amat menyarakan kepada sesiapa yang tidak pernah berkunjung ke sini untuk datang dengan segera dan menikmatan keenakan hidangannya. Aku yakin bahawa anda pasti tidak akan menyesal jika datang ke sini. Untuk pengetahuan juga, restoran ini juga telah membuka sebuah cawangan di Kuala Lumpur.
SELAMAT MENJAMU SELERA 🍗
Comments
Post a Comment